Di hujung Ramadan



Maksud hadis Rasulullah saw. bersabda: "Orang yang paling tinggi
darjatnya di sisi Allah swt. pada hari kiamat ialah mereka yang lama
berlapar dan sentiasa merenung kebesaran Allah swt."

Nabi Muhammad saw. bersabda "Ketuklah selalu pintu syurga supaya dibukakan untukmu. Bila Aisyah ra. bertanya bagaimana, Baginda menerangkan dengan lapar dan dahaga"

Muhammad saw. juga ada bersabda: "Manusia yang paling lama menderita kelaparan pada hari kiamat ialah mereka yang paling lama kenyangnya di dunia"

Assalammulaikum wbk.

Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir Dan Batin
Dengan izin barisan moderator budiman. Dengan Ramadhan yang hampir melabuhkan tirainya, izinkan saya menulis sepatah dua kata di dalam konteks semangat Aildifitri yang semakin tidak
sabar-sabar untuk terbit di ufuk timur. Rasa syukur saya panjatkan kepada Allah swt. yang
mengizinkan sekali lagi buat kita semua menyambut Hari Raya Aidilfitri iaitu Hari
Kemenangan, hari yang telah dijanjikan oleh Allah swt. hanya untuk mereka yang berjaya melawan dan berperang dengan nafsu dan berjaya mengharungi rintangan serta dugaan sepanjang bulan keberkatan dan kerahmatan.

Sesungguhnya bulan Ramadhan itu bulan yang berganda kerana segala kebaikan yang dilakukan akan diganjarkan olah Illahi dengan pahala yang berganda-ganda. Tetapi ada kalanya kita terlupa atau mungkin kita sengaja buat-buat terlupa dengan dugaan dan ujian Allah swt kepada kita kerana di dalam bulan Ramadhan itu juga, nafsu kita berganda. Berganda dengan tamaknya ketika membeli lauk pauk berbuka, berganda dengan sifat tidak sabarnya ketika menghadapi sewaktu berbuka dan berganda dengan sifat membazir ketika membuat persiapan Aidilfitri.
Dari sifat buruk dan tidak terkawal kita itu, adakah kita sebenarnya telah mencapai erti
sebenarnya KEMENANGAN yang Allah swt. janjikan khusus buat mereka yang diterima 100 markah puasanya?

Bulan Ramadhan yang Allah swt. perkenankan hanya kepada umat Muhammad saw. yang bakal kita tinggalkan lagi beberapa hari lagi, hanya datang sekali dalam setahun. Tanya diri kita sendiri sahabat, di dalam 30 hari Ramadhan itu tidak semuanya benar-benar menghayati
Ramadhan. Orang awam seperti kita adakalanya telah memendekkan waktunya selama seminggu sehingga menjadi 23 hari Ramadhan sahaja. Kerana di waktu penghujungnya, kita hanya sibuk mengejar-ngejar persiapan menyambut Aidilfitri yang sepatutnya persiapan itu boleh kita lakukan sebelum Ramadhan lagi.

Mana perginya kita ketika amalan beribadah seharusnya dipertingkatkan khususnya di hari-hari terakhir Ramadhan tetapi kita sibuk di
gendung-gendung dan di bazaar-bazaar pada siangnya. Malamnya pula kita sibuk dengan mempertingkat jumlah dan jenis kuih-kuih, biskut-biskut dan kudapan raya sehingga kita terlupa dan sengaja meninggalkan malam-malam yang sepatutnya kita menambahkan saham beribadah kita. Masjid dan surau semakin kurang dan semakin susut bilangan safnya.

Kita sibuk meniru orang lain, bercerita tentang rahsia dan rahmat malam seribu bulan
tetapi hakikatnya kita sendiri tidak pernah untuk cuba menggapainya. Memang secara teorinya senang, pelaksanaannya yang sukar. Allah swt. mengharamkan jasad umatNYA yang gembira dan senang dengan ketibaan Ramadhan dari api neraka. Begitu juga kepada mereka-mereka
yang sangat berat hatinya meninggalkan Ramadhan.

Kerana itu, kalau kita dapat lihat siaran langsung solat di Masjidil Haram di Makkah Mukarramah, ramai di antara orang-orang alim dan soleh menangis meninggalkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Bagi mereka, tidak
ada bulan lain yang menyamai bulan Ramadhan. Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang bersedih dan dukacita meninggalkan Ramadhan atau sebaliknya? Sementara masih ada sisa Ramadhan yang sahabat mungkin tidak sabar meninggalkannya, sama-samalah kita cuba mempertingkatkan nilai permarkahan puasa kita agar dapat kita meni'mati kerberkatan dan hikmah berpuasa dan cuba menghidupkan malam Lailatul Qadar, jika mampu. Biarlah Ramadhan yang cuma sekali dalam setahun itu benar-benar memberi kesan yang keinsafan
dan ketakwaan terhadap diri kita.

Maafkan saya andaikata tulisan saya kali ini menyinggung perasaan sahabat semua. Bukan niat saya hendak melekehkan KEMAMPUAN dan KEKAYAAN sahabat semua. Apa yang saya luahkan ini sekadar satu bentuk keinsafan yang terbit di dalam hati ini, itu sahaja.
Adakalanya kita perlu jujur dengan diri kita. Saya dan keluarga mengambil kesempatan ini sekali lagi untuk memohon maaf di atas segala kesalahan dan kesilapan. Halalkan makan dan minum saya.
Akhir kalam, Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga egroups dan juga buat keluarga sahabat semua. Raikanlah kemenangan sahabat semua di dalam menentang NAFSU dan bukan kita berhari raya atas nama menyambut kemenangan NAFSU ke atas diri kita!
Selamat berjuang dan berjaya.
Semoga Allah swt. memperkenankan pertemuan kita semua pada bulan Ramadhan di tahun hadapan, insyaallah.

Allahhu Akbar!

Comments

Popular posts from this blog

ORANG PERTAMA